Wednesday, August 5, 2009
' Nisfu Syaaban '
Pengenalan Syaaban :
Dikisahkan bahawa satu hari Nabi Isa a.s berjalan jalan maka ia terpandang sebuah gunung yang sangat besar maka beliau pun mendakinya sehingga sampai pada sebuah batu yang sangat putih, lebih putih dari warna susu
Apabila Nabi Isa a.s melihat batu itu, ia sangat kagum sehingga ia berpusing pusing mengelilingi batu tersebut. Kemudian Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau "Wahai Isa, adakah kamu mahu kalau aku tunjukkan yang lebih indah dan yang lebih mengkagumkan dari ini?"
Maka berkata Nabi Isa a.s "Ya aku hendak melihatnya". Setelah Nabi Isa a.s berkata demikian Allah s.w.t pun memecahkan batu yang besar itu dan sebaik saja batu itu pecah maka kelihatan seorang tua berjubah putih sedang solat, di sisinya ada sebatang tongkat dan setangkai buah anggur.
Apabila Nabi Isa a.s melihat keadaan orang tua itu begitu rupa maka dia pun bertanya "Wahai Sheikh, apakah yang sedang kamu buat di sini?"
Berkata Sheikh "Inilah rezekiku yang Allah beri setiap hari". Nabi Isa a.s bertanya lagi. "Sejak berapa lama kamu beribadat di sini?". Sheikh menjawab "Aku sudah berada di sini selama 400 tahun".
Kemudian Nabi Isa a.s bermunajat kepada Allah s.w.t. "Ya Allah! adakah engkau telah mencipta sesuatu yang lebih hebat dari apa yang aku saksikan pada orang tua ini?".
Allah mewahyukan kepada Nabi Isa a.s "Wahai Isa, kalaulah umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad s.a.w.) menjumpai bulan Syaaban maka mereka mengerjakan solat Baraah pada malam pertengahannya (malam Nisfu Syaaban), niscaya solat itu lebih baik daripada ibadah hambaku ini selama 400 tahun".
Kemudian Nabi Isa a.s berkata "Alangkah bahagianya diriku ini sekiranya aku dapat menjadi umat nabi akhir zaman". (umat Nabi Muhammad s.a.w.).
Pengertian Syaaban :
a) Syarafun (Kemuliaan)
Kemuliaan bulan Syaaban dikurnikan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah seperti kemuliaan darjat dan kejadiannya. Dengan sebab itu Syaaban adalah bulan Nabi Muhammad. Dalam bulan Syaaban dikurniakan pahala ibadat sampai 700 kali ganda, bulan dikurniakn keampunan bagi orang yang memohon taubat terutama pada malam pertengahannya.
b) Uluwun (Ketinggian)
Ketinggian darjat iman dikurniakan Allah kepada orang yang berpuasa dan beribadat di bulan Syaaban yang mulia dan dikurniakan juga ketinggian darjat di hari akhirat dengan balasan syurga kerana memuliakan bulan Syaaban dengan mengerjakan amalan amalan yang terpuji di dalamnya.
c) Birrun (Kebajikan)
Melakukan amal kebajikan dalam bulan Syaaban dijanjikan oleh Allah dengan kebajikan yang lebih besar di sisi Allah, mereka akan diberi kedudukan yang sangat tinggi di dalam syurga di akhirat kelak.
d) Ulfun (Jinak)
Kejinakan hati seseorang melakukan ibadah dengan penuh taqwa dalam bulan Syaaban dijanjikan rahmat dan keampunan yang amat banyak daripada Allah. Syaaban adalah bulan mendampingi dan menjinakkan diri dengan Allah melalui ibadat ibadat fardhu dan sunat.
e) Nurun (Cahaya)
Melakukan ibadah dengan penuh taqwa dalam bulan Syaaban menghasilkan cahaya iman dari Allah kepada hambanya. Cahaya ibadat hambanya yang dikurniakan Allah itu akan menjadi penyelamat di hari akhirat kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment